Kulit Muka Misi 8A |
Komik ini antara judul yang terawal saya dapatkan antara judul-judul Komik-M yang lain. Antara faktor utama yang menarik saya untuk membeli komik ini ialah perkataan 8A. 8A? PMR? Siapa yang hendak baca komik tentang pelajaran? Apakah yang difikirkan oleh penulis komik ini iaitu saudara Nazry ini ketika menulis jalan ceritanya? Perasaan ingin tahu itu yang membuatkan saya membeli komik ini.
Selepas habis hampir setengah jam saya menyelak helaian demi helaian komik Misi 8A ini, saya termenung seketika dan memikirkan bagaimana penulis komik ini mampu berfikir untuk menghasilkan karya seperti ini. Ia memang hebat dan bagus. Jalan cerita dan idea yang asli merupakan tunjang kekuatan komik ini. Saya ingin turut memuji hasil lukisan Afiq. Walaupun terdapat serba sedikit kelemahan pada lukisannya, tetapi, cuba fikir sejenak, dia melukis komik ini semasa dia berada di tingkatan 3. Tingkatan 3! Apa yang kita sedang lakukan semasa tingkatan 3? Masih sibuk bercinta sedangkan orang lain sudah mencapai cita. Kegigihan lukisannya nyata terserlah, lukisannya asli dan yang paling penting dia tidak menggunakan sebarang medium elektronik seperti tablet lukisan untuk membantunya. 100% asli dari tangannya sendiri dari segi watak mahupun latar belakang. Afiq jelas menunjukkan kegigihannya untuk komik ini dan ternyata, ia berbaloi.
Nazry(Penulis) Kiri dan Afiq(Pelukis) Kanan |
Aizad adalah seorang pelajar tingkatan 3 yang bermasalah. Pada suatu hari, barangan kesayangan Aizad (seperti komputer riba, telefon bimbit dan permainan konsol) telah dirampas oleh ibunya dan untuk mendapatkan kembali, Aizad perlu cemerlang dalam peperiksaan. Selepas kejadian itu, Aizad mula belajar demi mendapatkan balik barang-barang yang dirampas. Namun, usahanya tidak berjaya, malah keputusannya menjadi lebih teruk. Kemudian, takdir telah menemukan Aizad dengan Zahid. Zahid ialah pelajar terbaik sekolah dan antara yang terbaik di seluruh Malaysia. Aizad bertekad untuk berguru dengan Zahid. Sejak itu, pelbagai perkara yang menarik berlaku.
Karekter utama Misi 8A : Zahid (Kiri) dan Aizad (Kanan) |
Keseluruhannya, komik ini menjangkaui ekspetasi saya. Komik ini lengkap dengan unsur humor ala-ala manga dan diselitkan juga dengan percintaan remaja. Komik ini juga dilengkapi dengan tips-tips tentang bagaimana cara seseorang itu dapat belajar secara efektif. Samada matapelajaran sejarah atau matematik, fakta secara umum ini ternyata efektif dalam proses pembelajaran. Ini membuktikan penulisnya tidak menulis secara membabi buta sahaja. Ternyata penulis mempunyai ilmu yang tinggi. Kalau tidak masakan dua beradik ini mendapat gelaran pelajar cemerlang PMR & SPM. Hehe.
Kepada semua calon-calon PMR, saya sarankan anda supaya memiliki komik ini. Komik ini akan membantu anda menghadapi peperiksaan dan tips-tips yang membuatkan anda berasa seronok untuk belajar. Selain itu, komik ini juga menggambarkan tentang apa hala tuju anda selepas PMR. Ini mampu memberikan motivasi kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh seperti Aizad dan Zahid.
Petikan Komik Misi 8A. |
Rating : 9.0/10
Rujukan dan Maklumat Lanjut
Info Afiq dan Nazry :
idea asli tapi style bakuman.
ReplyDelete