Wednesday, 9 May 2012

Reviu #3 Komik: Aviasi Fantasi #1

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang sudi mengunjungi blog saya yang masih kerdil ini. Sob2. Baiklah tanpa membuang masa hari ini saya ingin berbicara (aiceh..) tentang satu lagi komik yang berjudul Aviasi Fantasi.

Komik Aviasi Fantasi adalah komik pertama yang dihasilkan oleh Afiq Salam dan Nazry Salam, merangkap penulis dan pelukis komik bestseller, Misi 8A. Seperti kebiasaannya, karya  Afiq + Nazry ='Feeqry' terkenal dengan jalan ceritanya yang unik dan tersendiri.

Kulit Muka Aviasi Fantasi #1

Biar saya ceritakan serba-sedikit tentang bagaimana saya berminat untuk membeli komik Aviasi Fantasi ini. Pada mula komik ini berada dalam pasaran yakni pada tahun 2010, saya secara jujurnya kurang berminat untuk mendapatkannya. Mungkin kerana ketika itu Komik-M kurang mendapat publisiti dan ketika itu komik-komik Gempakstarz lebih menjadi pilihan.

Tetapi selepas saya membaca komik Misi 8A, kekaguman saya membuatkan saya ingin memiliki komik ini. Mungkin kerana saya ingin melihat sejauh manakah kehebatan Nazry menulis sebuah komik bergenre fantasi yang amat berlainan genrenya dengan Misi 8A. Namun saya gagal mendapatkan komik itu ketika itu. Ketika itu memang amat sukar untuk mendapatkan Komik-M.

Namun, akhirnya saya berjaya menemui ini pada penghujung tahun 2011 di sebuah kedai buku di Jusco Balakong. Tidak tragis langsung bukan cerita penemuan saya dengan komik ini? hehe.

Untuk harga RM6.90, komik ini amat berbaloi untuk dimiliki. Saya telah membaca komik ini berulang kali dan masih kagum dengan jalan ceritanya. Bagi mereka yang masih belum memiliki komik Aviasi Fantasi ini,
ini merupakan ringkasan cerita komik ini:

Hadi dan Aidil merupakan rakan baik yang membesar bersama-sama sejak kecil. Pada suatu hari, apabila Hadi ditanya apa rancangan cuti sekolah oleh gurunya, Hadi menjawab bahawa dia mahu menyiapkan kapal terbang dan menjelajah ke langit. Kata-katanya telah mengundang gelak besar kepada semua rakan sekelasnya. Namun, dia tidak mengendahkan gelakan rakan-rakannya. Hadi dan Aidil sebenarnya sedang berusaha bersama-sama dalam satu projek untuk menyiapkan sebuah kapal terbang. 


Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil dan akhirnya mereka berjaya menyiapkan sebuah kapal terbang dan diberi nama Naga Kecil. Buat pertama kalinya, Naga Kecil melebarkan sayapnya di langit. Semua orang kampung tergamam menyaksikan keadaan itu lebih-lebih yang memandunya adalah Hadi. Hadi dan Aidil kemudiannya membuat keputusan untuk menjelajah bagi mengisi masa cuti mereka. Mereka kemudiannya berlepas dan memulakan pengembaraan mereka. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba mereka terserempak dengan sebuah kapal laut yang besar. 


Pada masa yang sama, berlaku suatu kekecohan di Jepun di mana satu ribut yang besar telah berlaku. Tetapi  yang menjadi persoalan ialah kehadiran ribut itu tidak dapat dikesan ataupun diramal. Nobuo Miura dari Jabatan Meterological Agency, Tokyo Jepun telah ditugaskan untuk menyiasat tentang ribut tersebut dan kes kehilangan sebuah kapal laut yang dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan kes ribut itu. Ketika dalam penyiasatan, Nobuo diberitahu bahawa kapal laut itu telah dijumpai di daerah Narita, yang lokasinya kira-kira 70km dari lolasi kapal itu hilang. Perkara yang lebih membingungkan ialah kapal itu bukan dijumpai di laut tetapi ditengah-tengah bandar Narita!

Babak-babak menarik dalam Aviasi Fantasi #1
Secara keseluruhannya, saya rasakan komik ini memang menarik sekali. Komik ini diterapkan dengan elemen suspen dan kejutan yang solid. Jalan ceritanya mantap. Kita dapat lihat bahawa banyak persoalan yang diterapkan dalam komik ini, yang membuatkan saya pasti bahawa komik ini bakal menjadi komik bersiri yang hebat. Dari segi lukisan, saya boleh katakan ini adalah hasil terbaik setakat ini oleh Afiq, lukisannya sangat terperinci, tidak kiralah dari segi rekaan watak atau latar belakang. Saya amat-amat kagum dengan lukisannya dalam komik ini.

Penceritaan imbas semula yang dilakukan oleh Nazry pula memang menjadi. Elemen-elemen ini yang mampu menarik minat pembaca untuk terus mengikuti sesuatu komik itu sebenarnya. Kebijaksanaan penulis cerita menghubung kaitkan  jalan cerita dan mengembangkan personaliti watak mampu memberikan excitement kepada pembaca. Teknik penceritaan imbas semula ini banyak dilakukan oleh mangaka jepun dan antara mangaka yang sering menggunakan kaedah imbas semula ialah mangaka genius, Eiichiro Oda dengan karyanya yang mendapat sambutan dari seluruh dunia, One Piece. 

Nazry (Kiri) Penulis dan Afiq (Kanan) Pelukis, FEEQRY

Kepada semua pencinta komik Malaysia yang belum mendapatkan komik Aviasi Fantasi, saya menyarankan anda supaya membeli komik ini kerana saya yakin anda akan berpuas hati dengannya. Komik ini mempunyai standard yang tinggi dari segi penulisan mahupun lukisannya. Jadi, pergilah ke kedai buku sekarang untuk mendapatkan komik ini dengan segera. :)

No comments:

Post a Comment