Saturday 12 May 2012

Reviu #4 Komik: Liga Pendekar : Perikatan Adiwira

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca-pembaca komik tanahair sekalian. Aiceh sekali rasa bagai ahli sasterawan pula berkata-kata. Haha. Baiklah. Sebelum memulakan reviu komik kali ini, saya ingin bertanya, siapa di sini yang sudah menonton filem The Avengers? ada yang masih belum menonton?  Kepada sesiapa yang masih belum menonton filem ini saya sarankan anda supaya menonton filem ini kerana ianya memang menarik. Masakan tidak, inilah sejarah dimana satu filem menggabungkan kesemua adiwira-adiwira seperti Iron Man, Captain America, Hulk dan Thor.

Tetapi bukan saya mahu review tentang Filem the Avengers kali ini. Tetapi, komik ini ada kaitan jugalah dengan filem the Avengers tersebut. Ya! Hari ini saya akan memberikan reviu komik Liga Pendekar karya Azhar Abdullah. Avengers Malaysia!

Ya!! Percaya atau tidak kita di Malaysia pun ada Avengers kita sendiri. Baiklah, anda semua tahu bahawa negara kita Malaysia kaya dengan cerita-cerita klasik samada yang dongeng mahupun tidak. Cerita-cerita inilah cerita yang kita dengar saban hari diceritakan oleh atuk dan nenek kita. Dan daripada cerita-cerita klasik itulah, adiwira-adiwira Melayu ini muncul.

Kali ini saya ingin memberikan reviu tentang komik ini. Pertama kali saya melihat kulit muka ini, saya dapat mengagak bahawa komik Liga Pendekar ini merupakan komik yang menarik. Sangkaan saya tepat dan komik ini memang luar biasa! Jikalau tidak masakan komik ini mampu merangkul lima anugerah dalam Anugerah Pekomik 2009! lima anugerah! Bukan calang-calang kan?

Bagi mereka diluar sana yang masih belum mendapatkan komik ini, ini ialah ringkasan komik ini :

Kesultanan Melayu Melaka diancam keselamatannya oleh satu kerajaan yang digelar Kerajaan Jin Hitam. Diketuai oleh Raja Jin bergelar Jum Ba Lang, mereka berniat untuk menjatuhkan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.Walaupun dijaga oleh Tok Imam dan Tok Bomoh Diraja, Jum Ba Lang berjaya juga menghantar sihirnya yang kuat melalui Toyol Berapi kepada Sultan Melaka.

Setelah perbincangan, pembesar-pembesar mendapati bahawa penawar kepada sihir Jum Ba Lang itu ialah Jantung Jum Ba Lang itu sendiri. Oleh itu, pembesar-pembesar bersetuju untuk menubuhkan Liga Pendekar, iaitu satu inisiatif untuk mengumpulkan beberapa orang yang mempunyai kebolehan yang luar biasa, untuk memburu Jum Ba Lang.

Antara Adiwira-adiwira didalam Liga Pendekar
Antara adiwira yang menyertai liga pendekar adalah :


Malim Deman (Berbaju Hijau)
Malim Deman berketurunan bangsawan dan dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengetuai Liga Pendekar. Malim Deman berkebolehan untuk melihat makhluk halus serta berupaya untuk menyeru hikmat dan kuasa bunian.

Hang Tuah/ Pak Tua (Berbaju Putih)
Hang Tuah mempunyai ketangkasan dan kekuatan yang luar biasa. Hang Tuah adalah pemilik senjata Keris Taming Sari. Walaupun jarang digunakan, namun pemilik Keris Taming Sari tetap dikurniakan kekuatan dan kekebalan.

Badang Badar (Berbaju Jingga)
Badang Badar ialah cucu kepada Badang yang pernah terkenal suatu ketika dahulu kerana kekuatannya yang terhasil dari memakan muntah jin. Badang mempunyai kekuatan yang amat luar biasa sehingga boleh dikatakan bersamaan 10 kali ganda kekuatan manusia biasa.

Kebayan (Berbaju Merah)
Kebayan berkebolehan dalam ilmu kebatinan dan sihir. Dia mampu mengawal minda seseorang, mahir dalam ilmu pukau dan bijak dalam penggunaan jampi.

Awang Kenit (Berbaju Biru)
Awang Kenit merupakan seorang pemuda yang mahir dalam tipu helah. Awang Kenit mempunyai kebolehan untuk mengecilkan badannya sehingga badannya menjadi sekecil pijat.

Orang Minyak (Berbaju Kuning)
Orang Minyak ialah orang yang disumpah kerana melanggar pantang larang ilmu batin pemberian bunian. Setelah disumpah, dia semakin bergelumang dengan kejahatan. Dia akhirnya dikalahkan oleh Malim Deman dengan bantuan Kebayan. Kebayan mampu memulihkan keadaannya dengan syarat bahawa dia menyertai Liga Pendekar. Orang Minyak berkebolehan memanipulasikan minyak mengikut kehendaknya.

Sang Kelembai (Berbaju Perang)
Sang Kelembai ialah ketua perompak Bayang Hutan yang sebelum ini melakukan aktiviti merompak orang yang melalui kawasan hutan tersebut. Pada mulanya dia dan kumpulannya bercadang untuk merompak Liga Pendekar. Setelah tewas dan mengetahui misi sebenar Liga Pendekar, dia bersetuju untuk menyertai perikatan itu.Dia mempunyai kebolehan untuk bertempur ala binatang buas dan boleh memukau mangsa sehingga kaku seperti batu.

Si Tanggang (Berbaju Kelabu)
Si Tanggang disumpah oleh ibunya menjadi batu akibat derhaka. Namun, setelah bertaubat bertahun-tahun, sumpahannya ditarik balik dan dia bertemu Liga Pendekar. Si Tanggang mempunyai tubuh sekeras batu dan kelebihan itu menjadikannya sangat kuat dan kebal.

Setelah  berjaya mengumpulkan Liga Pendekar, mereka pun mengembara untuk memburu jantung Jum Ba Lang.

Antara babak-babak menarik dalam Liga Pendekar.
Secara keseluruhannya, komik ini memang mempunyai ciri kemelayuan yang amat tinggi. Saya memuji lukisan encik Azhar Abdullah didalam komik ini kerana lukisannya dilukis menggunakan berus secara menyeluruh. Ia memang satu teknik yang mengkagumkan dan jarang dijumpai dalam komik-komik di Malaysia ini.

Komik ini juga mempunyai jalan cerita yang baik. Plotnya disusun dengan cukup cantik. Pembaca mampu memahami cerita ini dengan jelas tanpa sebarang masalah. Aksi pertarungan di dalam komik ini juga amat teratur dan tidak berserabut. 

Yang paling saya minat ialah penerapan sifat-sifat tersendiri dalam setiap karekter, yang menghidupkan jalan cerita komik ini. Contohnya, karekter miang-miang ubi dalam Awang Kenit memberikan unsur humor dalam komik ini. Namun,setiap watak memberikan impak yang berlainan dan memberikan satu kombinasi yang mantap di dalam komik ini.

Namun, komik ini kurang mendapat sambutan dikalangan pembaca komik di Malaysia ini dan ini diakui sendiri oleh pelukisnya encik Azhar Abdullah.

Gambar diambil dari http://7aman7.blogspot.com/2012/01/kisah-liga-pendekar-pembeli-kanak2.html

Bagi saya, situasi ini tidak sewajarnya berlaku. Komik ini seharusnya diberi perhatian oleh pencinta komik tanahair. Komik ini mempunyai idea yang baru, yang tidak berani diketengahkan oleh mana-mana pelukis sebelum ini. Jadi di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada para pembaca blog ini, adik-adik, rakan-rakan, saudara senegara, ataupun yang berada di luar negara, berilah peluang kepada komik Liga Pendekar ini. 

Saya amat berharap agar penjualan komik ini naik sama taraf dengan 5 anugerah yang dirangkulnya, Insyaallah. Oleh itu, majulah komik Malaysia, untuk negara Malaysia, apakah cogan kata ini, amat buruk bunyinya. Haha. Jumpa Lagi!

Rating : 8.0/10

Rujukan : 

Wednesday 9 May 2012

Reviu #3 Komik: Aviasi Fantasi #1

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang sudi mengunjungi blog saya yang masih kerdil ini. Sob2. Baiklah tanpa membuang masa hari ini saya ingin berbicara (aiceh..) tentang satu lagi komik yang berjudul Aviasi Fantasi.

Komik Aviasi Fantasi adalah komik pertama yang dihasilkan oleh Afiq Salam dan Nazry Salam, merangkap penulis dan pelukis komik bestseller, Misi 8A. Seperti kebiasaannya, karya  Afiq + Nazry ='Feeqry' terkenal dengan jalan ceritanya yang unik dan tersendiri.

Kulit Muka Aviasi Fantasi #1

Biar saya ceritakan serba-sedikit tentang bagaimana saya berminat untuk membeli komik Aviasi Fantasi ini. Pada mula komik ini berada dalam pasaran yakni pada tahun 2010, saya secara jujurnya kurang berminat untuk mendapatkannya. Mungkin kerana ketika itu Komik-M kurang mendapat publisiti dan ketika itu komik-komik Gempakstarz lebih menjadi pilihan.

Tetapi selepas saya membaca komik Misi 8A, kekaguman saya membuatkan saya ingin memiliki komik ini. Mungkin kerana saya ingin melihat sejauh manakah kehebatan Nazry menulis sebuah komik bergenre fantasi yang amat berlainan genrenya dengan Misi 8A. Namun saya gagal mendapatkan komik itu ketika itu. Ketika itu memang amat sukar untuk mendapatkan Komik-M.

Namun, akhirnya saya berjaya menemui ini pada penghujung tahun 2011 di sebuah kedai buku di Jusco Balakong. Tidak tragis langsung bukan cerita penemuan saya dengan komik ini? hehe.

Untuk harga RM6.90, komik ini amat berbaloi untuk dimiliki. Saya telah membaca komik ini berulang kali dan masih kagum dengan jalan ceritanya. Bagi mereka yang masih belum memiliki komik Aviasi Fantasi ini,
ini merupakan ringkasan cerita komik ini:

Hadi dan Aidil merupakan rakan baik yang membesar bersama-sama sejak kecil. Pada suatu hari, apabila Hadi ditanya apa rancangan cuti sekolah oleh gurunya, Hadi menjawab bahawa dia mahu menyiapkan kapal terbang dan menjelajah ke langit. Kata-katanya telah mengundang gelak besar kepada semua rakan sekelasnya. Namun, dia tidak mengendahkan gelakan rakan-rakannya. Hadi dan Aidil sebenarnya sedang berusaha bersama-sama dalam satu projek untuk menyiapkan sebuah kapal terbang. 


Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil dan akhirnya mereka berjaya menyiapkan sebuah kapal terbang dan diberi nama Naga Kecil. Buat pertama kalinya, Naga Kecil melebarkan sayapnya di langit. Semua orang kampung tergamam menyaksikan keadaan itu lebih-lebih yang memandunya adalah Hadi. Hadi dan Aidil kemudiannya membuat keputusan untuk menjelajah bagi mengisi masa cuti mereka. Mereka kemudiannya berlepas dan memulakan pengembaraan mereka. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba mereka terserempak dengan sebuah kapal laut yang besar. 


Pada masa yang sama, berlaku suatu kekecohan di Jepun di mana satu ribut yang besar telah berlaku. Tetapi  yang menjadi persoalan ialah kehadiran ribut itu tidak dapat dikesan ataupun diramal. Nobuo Miura dari Jabatan Meterological Agency, Tokyo Jepun telah ditugaskan untuk menyiasat tentang ribut tersebut dan kes kehilangan sebuah kapal laut yang dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan kes ribut itu. Ketika dalam penyiasatan, Nobuo diberitahu bahawa kapal laut itu telah dijumpai di daerah Narita, yang lokasinya kira-kira 70km dari lolasi kapal itu hilang. Perkara yang lebih membingungkan ialah kapal itu bukan dijumpai di laut tetapi ditengah-tengah bandar Narita!

Babak-babak menarik dalam Aviasi Fantasi #1
Secara keseluruhannya, saya rasakan komik ini memang menarik sekali. Komik ini diterapkan dengan elemen suspen dan kejutan yang solid. Jalan ceritanya mantap. Kita dapat lihat bahawa banyak persoalan yang diterapkan dalam komik ini, yang membuatkan saya pasti bahawa komik ini bakal menjadi komik bersiri yang hebat. Dari segi lukisan, saya boleh katakan ini adalah hasil terbaik setakat ini oleh Afiq, lukisannya sangat terperinci, tidak kiralah dari segi rekaan watak atau latar belakang. Saya amat-amat kagum dengan lukisannya dalam komik ini.

Penceritaan imbas semula yang dilakukan oleh Nazry pula memang menjadi. Elemen-elemen ini yang mampu menarik minat pembaca untuk terus mengikuti sesuatu komik itu sebenarnya. Kebijaksanaan penulis cerita menghubung kaitkan  jalan cerita dan mengembangkan personaliti watak mampu memberikan excitement kepada pembaca. Teknik penceritaan imbas semula ini banyak dilakukan oleh mangaka jepun dan antara mangaka yang sering menggunakan kaedah imbas semula ialah mangaka genius, Eiichiro Oda dengan karyanya yang mendapat sambutan dari seluruh dunia, One Piece. 

Nazry (Kiri) Penulis dan Afiq (Kanan) Pelukis, FEEQRY

Kepada semua pencinta komik Malaysia yang belum mendapatkan komik Aviasi Fantasi, saya menyarankan anda supaya membeli komik ini kerana saya yakin anda akan berpuas hati dengannya. Komik ini mempunyai standard yang tinggi dari segi penulisan mahupun lukisannya. Jadi, pergilah ke kedai buku sekarang untuk mendapatkan komik ini dengan segera. :)

Tuesday 8 May 2012

Reviu #2 Komik: Smash 20

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pencinta komik malaysia. Untuk reviu komik kali ini, saya akan memberikan reviu tentang komik bergenre sukan iaitu Smash 20. Komik ini adalah hasil karya pelukis muda yang bernama Irfan Foner. Saya tidak tahulah itu nama sebenar beliau. Hehe.

Kulit Muka Smash 20
Ketika kali pertama saya menemui komik ini, saya agak pelik dan tertanya-tanya, kenapa seorang lelaki yang memakai jersi bola sepak Malaysia, memegang raket, dan sedang dalam proses hendak smash sebuah bola sepak. Apakah? Haha, walaupun agak keliru tetapi saya amat yakin yang komik itu berkisarkan tentang sukan badminton. Tidak apa, saya akan memberitahu kemudian kenapa cover nya berilustrasi sebegitu.

Baiklah, kepada sesiapa yang masih belum mendapatkan komik Smash 20 ini, ini merupakan ringkasan kepada komik ini :

Ehsan Fairuz, seorang remaja yang pada dasarnya kelihatan normal tetapi sebenarnya telah hilang ingatan,terpaksa menjalani hidup sebagai seorang remaja biasa. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, semua keluarga, rakan-rakan Ehsan diminta supaya merahsiakan sejarah hidupnya. Namun, terdapat beberapa klu yang memberitahu pembaca bahawa Ehsan Fairuz adalah seorang pemain badminton yang hebat suatu ketika dahulu. Dia terpaksa menghadapi hari-hari biasa sebagai seorang pelajar tanpa secebis memori pun yang mampu diingati olehnya. Di sekolah, Ehsan Fairuz memilih untuk menyertai pasukan bola sepak kerana sukan itu dilihat sebagai satu sukan yang popular dan megah. Dalam masa yang sama, seorang guru dari persatuan badminton iaitu Cikgu Hazlina sedang mencari seorang wakil secara sukarela untuk menyertai pasukan badminton. Sekiranya dia tidak dapat mencari wakil tersebut, maka sekolah itu tidak layak untuk bertanding. Semasa didalam kelas, Ehsan dengan secara tidak sengaja telah mengangkat tangan ketika guru itu bertanya tentang siapa yang mahu mewakili sekolah dalam sukan badminton. Ehsan berkeras tidak mahu menyertai pasukan badminton kerana hatinya lebih meminati bola sepak. Dalam proses untuk memujuk Ehsan menyertai pasukan badminton tersebut, suatu pertengkaran telah berlaku menyebabkan Cikgu Hazlina kecil hati dan menangis. Ehsan yang tidak menghiraukan gurunya itu bergegas untuk menyertai pemilihan wakil bola sepak sekolah. Namun dia gagal dalam pemilihan tersebut kerana dia tiada bakat bermain bola sepak. Guru penasihat bola sepak menasihati dia agar meminta maaf kepada Cikgu Hazlina. Ehsan tiba di stadium tepat pada waktunya dan ketika itu sekolahnya memerlukan seorang wakil untuk perlawanan perseorangan ketiga bagi mengelakkan mereka dari disingkir. Jadi, sebagai tanda dia ikhlas dalam meminta maaf, dia bersetuju untuk mewakili sekolahnya, dan aksi perlawanan antara Ehsan dan pemain handalan, Johari pun bermula.

Watak Utama. Ehsan Fairuz (Tengah), Johari (Kiri), Cikgu Hazlina (Gambar Besar)
Komik ini mempunyai jalan cerita yang baik, diselitkan dengan misteri tentang masa silam karekter utama, komik ini memberikan keterujaan kepada sesiapa yang membacanya. Jalan ceritanya mudah difahami dan tidak terlalu kompleks serta disertakan dengan elemen-elemen drama yang menjadikan komik ini ala-ala manga sukan terkemuka di Shonen Jump seperti Slam Dunk, Eyeshield 21 dan Kuroko No Basket. Komik ini ternyata akan memberikan impak yang lebih besar sekiranya jalan ceritanya terus dikembangkan dengan baik. Walaupun terdapat komik jepun yang bertajuk Smash, yang juga berkisarkan tentang badminton, saya boleh memberi jaminan bahawa komik ini memang berbeza secara keseluruhannya. Jalan cerita komik ini lebih menarik dan unik.

Dan sudah pasti komik ini tidak sama dengan komik Anak-Anak Sidek yang popular satu ketika dahulu. Hehe. Saya berharap untuk jilid yang akan datang, pelukis akan memberikan sesuatu yang tidak diduga oleh pembaca atau mungkin kemunculan karekter-karekter baru yang mampu memberi impak yang maksima kepada pembaca. Walau bagaimanapun, saya amat memuji kegigihan pelukis ini melukis, terdapat beberapa lukisan yang amat mengkagumkan.Walau bukan semua lukisannya sempurna, tapi untuk karya pertama, saya boleh katakan yang karya ini antara karya yang cemerlang. 

Antara babak-babak menarik di dalam Smash 20
Untuk menjawab persoalan tentang kulit muka komik ini tadi, pada pendapat saya, pelukis melukis karekter Ehsan Fairuz memegang raket dan sasaran pukulannya adalah sebiji bola sepak adalah SIMBOLIK bahawa karekter Ehsan Fairuz itu lebih berbakat dalam sukan badminton berbanding bola sepak.

Jadi, kepada semua pencinta komik, yang masih belum dapatkan komik Smash 20 ini, saya sarankan anda memiliki komik ini kerana komik ini merupakan sebuah komik yang menarik. Ia bercirikan ketimuran, tiada sebarang unsur barat yang negatif terkandung di dalam komik ini. Komik ini juga padat dengan aksi dan saya boleh katakan, komik ini bakal menjadi satu komik yang popular di Malaysia satu masa nanti. Jadi saya tidak rasa anda semua mahu ketinggalan untuk memiliki komik ini.

Komik Smash 20 #2 juga sudah berada di pasaran dan akan saya tuliskan reviunya kelak. Oleh itu, marilah sama-sama kita menyokong industri komik di Malaysia dan Selamat membaca komik! hehe.

Rating : 7.5/10

Rujukan :

Sunday 6 May 2012

Reviu #1, Komik : Misi 8A

Komik Misi 8A adalah komik motivasi karya usaha sama dua adik beradik Nazry Salam Feeqry dan Afiq Salam Feeqry. Komik ini berjaya mencatat sejarahnya tersendiri sebagai komik motivasi pertama di Malaysia yang terjual sehingga ratusan ribu naskhah. Komik ini juga telah diulang cetak sebanyak empat kali dan boleh dikatakan antara komik terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah penerbitan Komik M.

Kulit Muka Misi 8A

Komik ini antara judul yang terawal saya dapatkan antara judul-judul Komik-M yang lain. Antara faktor utama yang menarik saya untuk membeli komik ini ialah perkataan 8A. 8A? PMR? Siapa yang hendak baca komik tentang pelajaran? Apakah yang difikirkan oleh penulis komik ini iaitu saudara Nazry ini ketika menulis jalan ceritanya? Perasaan ingin tahu itu yang membuatkan saya membeli komik ini.

Selepas habis hampir setengah jam saya menyelak helaian demi helaian komik Misi 8A ini, saya termenung seketika dan memikirkan bagaimana penulis komik ini mampu berfikir untuk menghasilkan karya seperti ini. Ia memang hebat dan bagus. Jalan cerita dan idea yang asli merupakan tunjang kekuatan komik ini. Saya ingin turut memuji hasil lukisan Afiq. Walaupun terdapat serba sedikit kelemahan pada lukisannya, tetapi, cuba fikir sejenak, dia melukis komik ini semasa dia berada di tingkatan 3. Tingkatan 3! Apa yang kita sedang lakukan semasa tingkatan 3? Masih sibuk bercinta sedangkan orang lain sudah mencapai cita. Kegigihan lukisannya nyata terserlah, lukisannya asli dan yang paling penting dia tidak menggunakan sebarang medium elektronik seperti tablet lukisan untuk membantunya. 100% asli dari tangannya sendiri dari segi watak mahupun latar belakang. Afiq jelas menunjukkan kegigihannya untuk komik ini dan ternyata, ia berbaloi.
Nazry(Penulis) Kiri dan Afiq(Pelukis) Kanan
Buat mereka yang belum pernah membaca komik Misi 8A ini, ini adalah ringkasan ceritanya.


Aizad adalah seorang pelajar tingkatan 3 yang bermasalah. Pada suatu hari, barangan kesayangan Aizad (seperti komputer riba, telefon bimbit dan permainan konsol) telah dirampas oleh ibunya dan untuk mendapatkan kembali, Aizad perlu cemerlang dalam peperiksaan. Selepas kejadian itu, Aizad mula belajar demi mendapatkan balik barang-barang yang dirampas. Namun, usahanya tidak berjaya, malah keputusannya menjadi lebih teruk. Kemudian, takdir telah menemukan Aizad dengan Zahid. Zahid ialah pelajar terbaik sekolah dan antara yang terbaik di seluruh Malaysia. Aizad bertekad untuk berguru dengan Zahid. Sejak itu, pelbagai perkara yang menarik berlaku.

Karekter utama Misi 8A : Zahid (Kiri) dan Aizad (Kanan)

Keseluruhannya, komik ini menjangkaui ekspetasi saya. Komik ini lengkap dengan unsur humor ala-ala manga dan diselitkan juga dengan percintaan remaja. Komik ini juga dilengkapi dengan tips-tips tentang bagaimana cara seseorang itu dapat belajar secara efektif. Samada matapelajaran sejarah atau matematik, fakta secara umum ini ternyata efektif dalam proses pembelajaran. Ini membuktikan penulisnya tidak menulis secara membabi buta sahaja. Ternyata penulis mempunyai ilmu yang tinggi. Kalau tidak masakan dua beradik ini mendapat gelaran pelajar cemerlang PMR & SPM. Hehe.

Kepada semua calon-calon PMR, saya sarankan anda supaya memiliki komik ini. Komik ini akan membantu anda menghadapi peperiksaan dan tips-tips yang membuatkan anda berasa seronok untuk belajar. Selain itu, komik ini juga menggambarkan tentang apa hala tuju anda selepas PMR. Ini mampu memberikan motivasi kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh seperti Aizad dan Zahid.

Petikan Komik Misi 8A. 
Oleh itu, kepada sesiapa yang masih belum mendapatkan komik ini, saya sarankan anda segera dapatkan komik ini di pasaran. Bagi harga RM6.90, ia teramat berbaloi untuk dimiliki. Bukan sahaja untuk mereka yang bakal menghadapi PMR, tetapi bagi semua pencinta komik. Komik ini mempunyai idea yang asli dan tersendiri yang tidak terdapat dalam mana-mana komik lain. Jadi, serbu kedai buku sekarang!

Rating : 9.0/10

Rujukan dan Maklumat Lanjut

Info Afiq dan Nazry : 

Komik-M. Apakah?

Komik M merupakan sebuah syarikat dibawah PTS Publication & Distributor Sdn Bhd. Ditubuhkan sekitar awal tahun 2008, Komik M mula bertapak sedikit demi sedikit di arena penerbitan negara kita. Pada mulanya agak sukar menerima kehadiran Komik M ini di negara kita, kerana syarikat ini dikaburi oleh komik-komik terbitan Gempakstarz yang mendapat lebih sambutan dikalangan pembaca.

Namun, syarikat ini menunjukkan kegigihan yang luar biasa dan tidak pernah putus menerbitkan komik-komik terbaru. Syarikat ini boleh dikatakan berani kerana mempertengahkan bakat-bakat baru yang belum pernah dilihat di Malaysia. 



Mengetengahkan bahasa melayu tinggi sebagai bahasa rasmi di dalam komik, Komik M dilihat mampu menarik minat pelajar untuk menguasai bahasa melayu dengan baik. Komik M juga sentiasa menyelitkan nasihat-nasihat dan menunjukkan akhlak dan etika yang baik didalam komik-komik mereka. Jadi untuk mereka yang berniat untuk melihat aksi-aksi 18pl dan 18sx didalam komik, kamu berada di zon yang salah.

Komik M membuktikan bahawa komik merupakan satu media yang bagus untuk menerapkan akhlak-akhlak yang baik. Walaupun pada dasarnya ia dilihat hanya disasarkan untuk kanak-kanak, tetapi komik M sesuai dibaca untuk semua lapisan umur. 




Komik M terdiri dari pelbagai jenis genre yang terdiri daripada Sci-Fi, Fantasi, Sukan, Cinta, Humor, dan Motivasi. Genre-genre ini kadangkala akan diselitkan di dalam komik-komik antologi, yang menguasai majoriti bilangan judul dalam Komik-M

Apakah komik antologi? Komik Antologi ialah komik yang dimana dalam satu komik, akan ada banyak karya dari artis-artis yang berbeza. Komik Antologi didalam Komik M  ini diberi nama 'Aku, Kau &......' . Apakah '.......'?? Kebiasaanya judul komik antologi itu berbeza-beza, ada judul Aku, Kau & Facebook dan ada juga Aku Kau & Cinta,  Aku,Kau & Bola serta Aku, Kau & Komik. 




Ini sebenarnya adalah alternatif yang bijak dari pihak penerbitan. Dengan adanya komik Antologi seperti ini, pembaca akan lebih tertarik dengan kisah yang berlainan, lukisan yang berlainan dari komik yang berlainan. 

Jadi, adakah anda pernah membaca komik-komik hasil terbitan Komik-M?  Kata orang tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, apa kata anda pergi jenguk ke kedai-kedai buku berhampiran untuk mendapatkan komik-M. 
Jangan risau, saya juga pembaca komik seperti anda, saya tahu apa yang menepati selera kita sebagai pembaca. Ianya adalah pembelian yang berbaloi. Jangan risau, saya akan sertakan reviu-reviu dengan lebih mendalam lagi tentang judul-judul komik-M supaya pembaca dapat menilainya sendiri. Berilah peluang kepada industri komik kita untuk maju setaraf dengan negara-negara lain. Insyaallah. Satu hari nanti.

Judul-judul menarik Komik-M. Banyak pilihan kan?
Untuk maklumat lanjut :http://www.facebook.com/komikm
                                   

Bismillahirrahmanirrahim..Mula Kata.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pencinta komik tempatan dan antarabangsa. Awal bicara, saya ingin menjelaskan kenapa blog ini ditulis. Bukan untuk mengkritik, bukan untuk memuja tapi hanya untuk memberi pendapat atau lebih tepatnya, reviu tentang komik-komik yang sedang dalam pasaran khasnya di Malaysia.

Dengan ini penggila komik dapat menilai karya-karya tempatan yang semakin membangun dari sehari ke sehari.


Antara syarikat-syarikat penerbitan yang memperjuangkan industri  perkomikan di Malaysia


Tidak kiralah, Gempakstarz, Komik M mahupun  Moy Publication. Masing-masing ada cara tersendiri memperjuangkan karya-karya mereka. Memanglah kita tidak boleh bandingkan komik-komik di Malaysia dengan Manga ataupun komik-komik luar negara yang mempunyai asas industri perkomikan yang lebih gah dan hebat, namun dalam kita sedar ataupun tidak. Industri komik kita sedang berkembang dengan maju.

Oleh itu, marilah kita memberikan sokongan kepada industri perkomikan di Malaysia khususnya. Insyaallah.Namun ingin saya nyatakan, blog ini bukan sahaja memberikan reviu tentang komik di Malaysia sahaja, saya juga akan sertakan manga-manga dan komik-komik dari negara lain. Maklumlah, saya juga pembaca komik dan manga dari luar negara. Hehe.

Namun saya akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan reviu terbaik khas untuk pembaca-pembaca blog ini. Insyaallah, Jadi reviu-reviu komik akan bermula!