Saturday 12 May 2012

Reviu #4 Komik: Liga Pendekar : Perikatan Adiwira

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca-pembaca komik tanahair sekalian. Aiceh sekali rasa bagai ahli sasterawan pula berkata-kata. Haha. Baiklah. Sebelum memulakan reviu komik kali ini, saya ingin bertanya, siapa di sini yang sudah menonton filem The Avengers? ada yang masih belum menonton?  Kepada sesiapa yang masih belum menonton filem ini saya sarankan anda supaya menonton filem ini kerana ianya memang menarik. Masakan tidak, inilah sejarah dimana satu filem menggabungkan kesemua adiwira-adiwira seperti Iron Man, Captain America, Hulk dan Thor.

Tetapi bukan saya mahu review tentang Filem the Avengers kali ini. Tetapi, komik ini ada kaitan jugalah dengan filem the Avengers tersebut. Ya! Hari ini saya akan memberikan reviu komik Liga Pendekar karya Azhar Abdullah. Avengers Malaysia!

Ya!! Percaya atau tidak kita di Malaysia pun ada Avengers kita sendiri. Baiklah, anda semua tahu bahawa negara kita Malaysia kaya dengan cerita-cerita klasik samada yang dongeng mahupun tidak. Cerita-cerita inilah cerita yang kita dengar saban hari diceritakan oleh atuk dan nenek kita. Dan daripada cerita-cerita klasik itulah, adiwira-adiwira Melayu ini muncul.

Kali ini saya ingin memberikan reviu tentang komik ini. Pertama kali saya melihat kulit muka ini, saya dapat mengagak bahawa komik Liga Pendekar ini merupakan komik yang menarik. Sangkaan saya tepat dan komik ini memang luar biasa! Jikalau tidak masakan komik ini mampu merangkul lima anugerah dalam Anugerah Pekomik 2009! lima anugerah! Bukan calang-calang kan?

Bagi mereka diluar sana yang masih belum mendapatkan komik ini, ini ialah ringkasan komik ini :

Kesultanan Melayu Melaka diancam keselamatannya oleh satu kerajaan yang digelar Kerajaan Jin Hitam. Diketuai oleh Raja Jin bergelar Jum Ba Lang, mereka berniat untuk menjatuhkan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.Walaupun dijaga oleh Tok Imam dan Tok Bomoh Diraja, Jum Ba Lang berjaya juga menghantar sihirnya yang kuat melalui Toyol Berapi kepada Sultan Melaka.

Setelah perbincangan, pembesar-pembesar mendapati bahawa penawar kepada sihir Jum Ba Lang itu ialah Jantung Jum Ba Lang itu sendiri. Oleh itu, pembesar-pembesar bersetuju untuk menubuhkan Liga Pendekar, iaitu satu inisiatif untuk mengumpulkan beberapa orang yang mempunyai kebolehan yang luar biasa, untuk memburu Jum Ba Lang.

Antara Adiwira-adiwira didalam Liga Pendekar
Antara adiwira yang menyertai liga pendekar adalah :


Malim Deman (Berbaju Hijau)
Malim Deman berketurunan bangsawan dan dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengetuai Liga Pendekar. Malim Deman berkebolehan untuk melihat makhluk halus serta berupaya untuk menyeru hikmat dan kuasa bunian.

Hang Tuah/ Pak Tua (Berbaju Putih)
Hang Tuah mempunyai ketangkasan dan kekuatan yang luar biasa. Hang Tuah adalah pemilik senjata Keris Taming Sari. Walaupun jarang digunakan, namun pemilik Keris Taming Sari tetap dikurniakan kekuatan dan kekebalan.

Badang Badar (Berbaju Jingga)
Badang Badar ialah cucu kepada Badang yang pernah terkenal suatu ketika dahulu kerana kekuatannya yang terhasil dari memakan muntah jin. Badang mempunyai kekuatan yang amat luar biasa sehingga boleh dikatakan bersamaan 10 kali ganda kekuatan manusia biasa.

Kebayan (Berbaju Merah)
Kebayan berkebolehan dalam ilmu kebatinan dan sihir. Dia mampu mengawal minda seseorang, mahir dalam ilmu pukau dan bijak dalam penggunaan jampi.

Awang Kenit (Berbaju Biru)
Awang Kenit merupakan seorang pemuda yang mahir dalam tipu helah. Awang Kenit mempunyai kebolehan untuk mengecilkan badannya sehingga badannya menjadi sekecil pijat.

Orang Minyak (Berbaju Kuning)
Orang Minyak ialah orang yang disumpah kerana melanggar pantang larang ilmu batin pemberian bunian. Setelah disumpah, dia semakin bergelumang dengan kejahatan. Dia akhirnya dikalahkan oleh Malim Deman dengan bantuan Kebayan. Kebayan mampu memulihkan keadaannya dengan syarat bahawa dia menyertai Liga Pendekar. Orang Minyak berkebolehan memanipulasikan minyak mengikut kehendaknya.

Sang Kelembai (Berbaju Perang)
Sang Kelembai ialah ketua perompak Bayang Hutan yang sebelum ini melakukan aktiviti merompak orang yang melalui kawasan hutan tersebut. Pada mulanya dia dan kumpulannya bercadang untuk merompak Liga Pendekar. Setelah tewas dan mengetahui misi sebenar Liga Pendekar, dia bersetuju untuk menyertai perikatan itu.Dia mempunyai kebolehan untuk bertempur ala binatang buas dan boleh memukau mangsa sehingga kaku seperti batu.

Si Tanggang (Berbaju Kelabu)
Si Tanggang disumpah oleh ibunya menjadi batu akibat derhaka. Namun, setelah bertaubat bertahun-tahun, sumpahannya ditarik balik dan dia bertemu Liga Pendekar. Si Tanggang mempunyai tubuh sekeras batu dan kelebihan itu menjadikannya sangat kuat dan kebal.

Setelah  berjaya mengumpulkan Liga Pendekar, mereka pun mengembara untuk memburu jantung Jum Ba Lang.

Antara babak-babak menarik dalam Liga Pendekar.
Secara keseluruhannya, komik ini memang mempunyai ciri kemelayuan yang amat tinggi. Saya memuji lukisan encik Azhar Abdullah didalam komik ini kerana lukisannya dilukis menggunakan berus secara menyeluruh. Ia memang satu teknik yang mengkagumkan dan jarang dijumpai dalam komik-komik di Malaysia ini.

Komik ini juga mempunyai jalan cerita yang baik. Plotnya disusun dengan cukup cantik. Pembaca mampu memahami cerita ini dengan jelas tanpa sebarang masalah. Aksi pertarungan di dalam komik ini juga amat teratur dan tidak berserabut. 

Yang paling saya minat ialah penerapan sifat-sifat tersendiri dalam setiap karekter, yang menghidupkan jalan cerita komik ini. Contohnya, karekter miang-miang ubi dalam Awang Kenit memberikan unsur humor dalam komik ini. Namun,setiap watak memberikan impak yang berlainan dan memberikan satu kombinasi yang mantap di dalam komik ini.

Namun, komik ini kurang mendapat sambutan dikalangan pembaca komik di Malaysia ini dan ini diakui sendiri oleh pelukisnya encik Azhar Abdullah.

Gambar diambil dari http://7aman7.blogspot.com/2012/01/kisah-liga-pendekar-pembeli-kanak2.html

Bagi saya, situasi ini tidak sewajarnya berlaku. Komik ini seharusnya diberi perhatian oleh pencinta komik tanahair. Komik ini mempunyai idea yang baru, yang tidak berani diketengahkan oleh mana-mana pelukis sebelum ini. Jadi di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada para pembaca blog ini, adik-adik, rakan-rakan, saudara senegara, ataupun yang berada di luar negara, berilah peluang kepada komik Liga Pendekar ini. 

Saya amat berharap agar penjualan komik ini naik sama taraf dengan 5 anugerah yang dirangkulnya, Insyaallah. Oleh itu, majulah komik Malaysia, untuk negara Malaysia, apakah cogan kata ini, amat buruk bunyinya. Haha. Jumpa Lagi!

Rating : 8.0/10

Rujukan : 

2 comments:

  1. terima kaseh atas review anda.

    terima kaseh atas sokongan anda

    Azhar Abdullah

    ReplyDelete
  2. Saya tak beli & tak baca lagi komik ni, tapi lepas saya baca review saudara pasal komik ni, saya berminat & nak sangat baca komik ni. Tentang pendapat saudara mengenai beri peluang kepada komik ni, saya setuju 100%, sebab bukan senang pelukis komik Malaysia ketengah idea superhero yang epic, lagi-lagi yang bertemakan zaman kesultanan melayu melaka

    ReplyDelete