Tuesday 8 May 2012

Reviu #2 Komik: Smash 20

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pencinta komik malaysia. Untuk reviu komik kali ini, saya akan memberikan reviu tentang komik bergenre sukan iaitu Smash 20. Komik ini adalah hasil karya pelukis muda yang bernama Irfan Foner. Saya tidak tahulah itu nama sebenar beliau. Hehe.

Kulit Muka Smash 20
Ketika kali pertama saya menemui komik ini, saya agak pelik dan tertanya-tanya, kenapa seorang lelaki yang memakai jersi bola sepak Malaysia, memegang raket, dan sedang dalam proses hendak smash sebuah bola sepak. Apakah? Haha, walaupun agak keliru tetapi saya amat yakin yang komik itu berkisarkan tentang sukan badminton. Tidak apa, saya akan memberitahu kemudian kenapa cover nya berilustrasi sebegitu.

Baiklah, kepada sesiapa yang masih belum mendapatkan komik Smash 20 ini, ini merupakan ringkasan kepada komik ini :

Ehsan Fairuz, seorang remaja yang pada dasarnya kelihatan normal tetapi sebenarnya telah hilang ingatan,terpaksa menjalani hidup sebagai seorang remaja biasa. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, semua keluarga, rakan-rakan Ehsan diminta supaya merahsiakan sejarah hidupnya. Namun, terdapat beberapa klu yang memberitahu pembaca bahawa Ehsan Fairuz adalah seorang pemain badminton yang hebat suatu ketika dahulu. Dia terpaksa menghadapi hari-hari biasa sebagai seorang pelajar tanpa secebis memori pun yang mampu diingati olehnya. Di sekolah, Ehsan Fairuz memilih untuk menyertai pasukan bola sepak kerana sukan itu dilihat sebagai satu sukan yang popular dan megah. Dalam masa yang sama, seorang guru dari persatuan badminton iaitu Cikgu Hazlina sedang mencari seorang wakil secara sukarela untuk menyertai pasukan badminton. Sekiranya dia tidak dapat mencari wakil tersebut, maka sekolah itu tidak layak untuk bertanding. Semasa didalam kelas, Ehsan dengan secara tidak sengaja telah mengangkat tangan ketika guru itu bertanya tentang siapa yang mahu mewakili sekolah dalam sukan badminton. Ehsan berkeras tidak mahu menyertai pasukan badminton kerana hatinya lebih meminati bola sepak. Dalam proses untuk memujuk Ehsan menyertai pasukan badminton tersebut, suatu pertengkaran telah berlaku menyebabkan Cikgu Hazlina kecil hati dan menangis. Ehsan yang tidak menghiraukan gurunya itu bergegas untuk menyertai pemilihan wakil bola sepak sekolah. Namun dia gagal dalam pemilihan tersebut kerana dia tiada bakat bermain bola sepak. Guru penasihat bola sepak menasihati dia agar meminta maaf kepada Cikgu Hazlina. Ehsan tiba di stadium tepat pada waktunya dan ketika itu sekolahnya memerlukan seorang wakil untuk perlawanan perseorangan ketiga bagi mengelakkan mereka dari disingkir. Jadi, sebagai tanda dia ikhlas dalam meminta maaf, dia bersetuju untuk mewakili sekolahnya, dan aksi perlawanan antara Ehsan dan pemain handalan, Johari pun bermula.

Watak Utama. Ehsan Fairuz (Tengah), Johari (Kiri), Cikgu Hazlina (Gambar Besar)
Komik ini mempunyai jalan cerita yang baik, diselitkan dengan misteri tentang masa silam karekter utama, komik ini memberikan keterujaan kepada sesiapa yang membacanya. Jalan ceritanya mudah difahami dan tidak terlalu kompleks serta disertakan dengan elemen-elemen drama yang menjadikan komik ini ala-ala manga sukan terkemuka di Shonen Jump seperti Slam Dunk, Eyeshield 21 dan Kuroko No Basket. Komik ini ternyata akan memberikan impak yang lebih besar sekiranya jalan ceritanya terus dikembangkan dengan baik. Walaupun terdapat komik jepun yang bertajuk Smash, yang juga berkisarkan tentang badminton, saya boleh memberi jaminan bahawa komik ini memang berbeza secara keseluruhannya. Jalan cerita komik ini lebih menarik dan unik.

Dan sudah pasti komik ini tidak sama dengan komik Anak-Anak Sidek yang popular satu ketika dahulu. Hehe. Saya berharap untuk jilid yang akan datang, pelukis akan memberikan sesuatu yang tidak diduga oleh pembaca atau mungkin kemunculan karekter-karekter baru yang mampu memberi impak yang maksima kepada pembaca. Walau bagaimanapun, saya amat memuji kegigihan pelukis ini melukis, terdapat beberapa lukisan yang amat mengkagumkan.Walau bukan semua lukisannya sempurna, tapi untuk karya pertama, saya boleh katakan yang karya ini antara karya yang cemerlang. 

Antara babak-babak menarik di dalam Smash 20
Untuk menjawab persoalan tentang kulit muka komik ini tadi, pada pendapat saya, pelukis melukis karekter Ehsan Fairuz memegang raket dan sasaran pukulannya adalah sebiji bola sepak adalah SIMBOLIK bahawa karekter Ehsan Fairuz itu lebih berbakat dalam sukan badminton berbanding bola sepak.

Jadi, kepada semua pencinta komik, yang masih belum dapatkan komik Smash 20 ini, saya sarankan anda memiliki komik ini kerana komik ini merupakan sebuah komik yang menarik. Ia bercirikan ketimuran, tiada sebarang unsur barat yang negatif terkandung di dalam komik ini. Komik ini juga padat dengan aksi dan saya boleh katakan, komik ini bakal menjadi satu komik yang popular di Malaysia satu masa nanti. Jadi saya tidak rasa anda semua mahu ketinggalan untuk memiliki komik ini.

Komik Smash 20 #2 juga sudah berada di pasaran dan akan saya tuliskan reviunya kelak. Oleh itu, marilah sama-sama kita menyokong industri komik di Malaysia dan Selamat membaca komik! hehe.

Rating : 7.5/10

Rujukan :

No comments:

Post a Comment